11 OKT: Dengan penubuhan jawatankuasa khas oleh kerajaan, tindakan undang-undang harus diambil dengan segera terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sekiranya terdapat salah laku di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.
Pada masa sama, Pengamal Undang-Undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, penerbit buku tersebut juga perlu bertanggungjawab atas kesalahan berkenaan kerana telah menerbitkan penulisan yang boleh mengelirukan orang ramai.
Justeru, beliau mengharapkan agar kerajaan mendedahkan laporan hasil siasatan oleh jawatankuasa tersebut kepada orang awam agar mereka mengetahui perkembangan yang telah dilakukan kerajaan.
“Sebelum itu, banyak laporan polis telah pun dibuat oleh pelbagai pihak pada awal tahun 2021 setelah buku Memoir Tommy diterbitkan.
“Persoalannya, apakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa iaitu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pejabat Peguam Negara berkaitan laporan-laporan itu?” soalnya menerusi kenyataan, hari ini.
Sabtu lalu, Perdana Menteri berkata, Kabinet turut bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan Tommy.
Ismail Sabri memaklumkan, pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan bertindak sebagai urusetia.
Beliau berkata, pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan.
Dalam pada itu, Mohamed Haniff menegaskan isu Muhammad Adib ini adalah berkaitan dengan kedaulatan undang-undang dan isu politik tidak seharusnya tidak dimainkan oleh pihak-pihak tertentu.
“Isu-isu yang dibangkitkan dalam buku tersebut tidak semestinya dan tidak boleh diselesaikan oleh jabatan kuasa politik yang dianggotai oleh Menteri,” katanya.
Tambah beliau, pada tahun 2019, kerajaan telah mengumumkan akan menubuhkan satu RCI untuk bidang kehakiman setelah hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer memfailkan satu affidavit.
Bagaimanapun, beliau sedikit terkilan dan kecewa kerana RCI tersebut tidak ditubuhkan malah diganti dengan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes berkenaan.
“Tetapi sehingga kini tidak ada apa-apa RCI kehakiman ditubuhkan tapi satu jawatankuasa pula ditubuhkan untuk mengkaji isu kehakiman, ini bukan caranya.
“Politik tidak seharusnya mencampuri kedaulatan undang-undang,” tegasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH