11 OKT: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 (Akta 830) tanpa sebarang pindaan.
Terdahulu, usul pindaan RUU Akta 830 bagi menambah perbelanjaan sebanyak RM45 bilion dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen, hari ini.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meluluskan usul itu menerusi undi suara menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas bacaan kali ketiga, sebentar tadi.
Kelulusan RUU berkenaan penting bagi membentuk kesinambungan usaha bersama dalam memelihara kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi.
Rang undang-undang berkenaan yang dibentangkan Tengku Zafrul, dibahaskan oleh 30 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang semuanya dilihat bersetuju dengan pindaan berkenaan namun menggesa Putrajaya membelanjakan dana dengan berhemah.
Tengku Zafrul ketika membentangkan RUU berkata tindakan berkenaan perlu bagi memperoleh kelulusan untuk meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.
Beliau berkata pindaan berkenaan juga bagi membolehkan had statutori hutang semasa Malaysia dinaikkan daripada 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 65 peratus.
Ketika penggulungan, Tengku Zafrul berkata anggaran perbelanjaan tambahan itu merangkumi RM12.7 bilion untuk menampung peruntukan tambahan Program Subsidi Upah, RM15.8 bilion peruntukan tambahan Bantuan Prihatin Nasional dan projek berskala kecil bagi kontraktor G1 hingga G4 (RM2 bilion).
Geran PRIHATIN PKS (RM3.6 bilion), peningkatan had amaun pinjaman mikro kredit (RM1 bilion), sokongan bantuan sosial untuk golongan mudah terjejas (RM5.9 bilion) dan dana perbelanjaan berkaitan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan (RM4 bilion).