Parlimen lulus usul MP berbaju batik setiap Khamis
11 OKT: Parlimen hari ini meluluskan tiga usul membenarkan Ahli Parlimen lelaki memakai baju batik berlengan panjang ketika menghadiri sidang Parlimen pada setiap hari Khamis.
Perkara itu adalah antara tiga syor diluluskan Jawatankuasa Dewan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Parlimen Ke-14 yang telah dibentangkan di atas meja mesyuarat Parlimen hari ini.
Dua lagi syor lain ialah komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli dan penubuhan jawatankuasa pilihan khas baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ketika mengemukakan syor berkenaan berkata semua ahli Parlimen digalakkan memakai baju batik berlengan panjang ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat pada setiap hari Khamis.
“Ini adalah cadangan daripada Yang Berhormat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk menyokong warisan negara.
“Pemakaian baju batik ini bukanlah mandatori dan adalah secara sukarela,” katanya ketika membaca Penyata Jawatankuasa Dewan yang dibentangkan di atas meja mesyuarat di Parlimen hari ini.
Semua syor berkenaan dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Dewan Bil.2, Bil. 3 dan Bil. 4 tahun 2021.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata pertambahan komposisi ahli untuk semua Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditambah dari tujuh ahli kepada sembilan ahli Parlimen dibuat selaras dengan Peraturan 82(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat
Kedua adalah mengenai penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu, Wan Junaidi berkata Jawatankuasa Dewan telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa (Special Select Committee on International Affairs) (dengan izin).
Beliau berkata Jawatankuasa Dewan juga bersetuju agar terma rujukan bagi Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas ini hendaklah mengandungi perkara-perkara yang seperti tujuan penubuhan; keanggotaan sembilan orang ahli termasuk pengerusi;
tempoh pelantikan selama dua tahun atau dua penggal; kuasa memanggil; dan penyata dewan.
“Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa ini adalah penambahan daripada 9 Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan,” katanya.