11 OKT: Kebenaran rentas negeri untuk individu lengkap vaksin bermula hari ini membuktikan pendirian Kerajaan tidak berubah walaupun dikritik dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran hanya diberikan apabila risiko sektor dinilai, dan kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam memberi suntikan vaksin kepada seramai mungkin penduduk di Malaysia.
“Alhamdulillah berkat kerjasama seluruh rakyat Malaysia, akhirnya rentas sempadan antara negeri untuk penduduk Malaysia yang sudah divaksinasi lengkap, dibenarkan oleh Kerajaan bermula hari ini, 11 Oktober 2021 seperti yang diumumkan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
“Saya amat mengalu-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri yang sememangnya amat ditunggu-tunggu oleh jutaan rakyat Malaysia baik yang tua mahupun yang muda, di bandar mahupun di desa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu turut memuji pendirian Kerajaan yang terus konsisten dengan strategi memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk di negara ini.
Menurutnya, lebih ramai yang divaksin, lebih ramai yang akan terlindung dari dijangkiti COVID-19 dengan teruk dan beban terhadap sektor kesihatan awam akan berkurang.
“Ini akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka dan kita beransur-ansur kembali ke kehidupan norma baharu dan beralih dari pandemik ke endemik.
“Walaupun dikritik hebat sebelum ini, pendirian Kerajaan tidak berubah. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan mesti berani bertindak berdasarkan fakta dan melakukan perkara yang betul,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata, beliau sering menekankan sewaktu mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 dahulu bahawa suntikan vaksin ini merupakan “cahaya di hujung terowong” dan tanggungjawab kerajaan untuk melindungi penduduk di Malaysia.
“Alhamdulillah, hari ini, kita sudah mula melihat dan menikmati hasil kerjasama rakyat dan kerajaan serta pengorbanan para petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.
“Dalam bergerak ke hadapan, jangan sesekali kita leka dan alpa kerana sememangnya virus ini masih berada di dalam komuniti,” katanya yang mengingatkan rakyat Malaysia agar mengambil peluang itu untuk untuk menziarahi orang tua dan keluarga tercinta yang dirindui, mencari rezeki, membantu peniaga-peniaga kecil dengan melancong dalam negeri, membeli barangan buatan tempatan dan makan beraneka makanan yang diidamkan.
Namun, beliau mengingatkan jangan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan kawalan kendiri dengan ketat iaitu memakai pelitup muka, elakkan bersentuhan, jaga penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan selain melakukan ujian kendiri.