12 OKT : Malaysia merekodkan sebanyak 66,440 kes cerai membabitkan pasangan beragama Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga Ogos lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 12,479 kes, diikuti Johor (7,558), Kedah (5,985), Kelantan (5,982), Perak (5,921) dan 5,098 di Terengganu.
Menurut beliau, Pahang pula merekodkan 5,058 daftar cerai, Sabah (4,010), Pulau Pinang (2,978), Wilayah Persekutuan (3,854), Negeri Sembilan (3,473), Melaka (2,402), Perlis (1,081) dan 561 di Sarawak.
“Bilangan kes perceraian yang difailkan ketika tempoh pandemik dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 bagi golongan bukan Islam di seluruh negara pula sebanyak 10,346 kes.
“Daripada jumlah ini, Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 3,160 kes, diikuti Kuala Lumpur 2,893 kes dan Perak 1,209 kes, Johor (1197), Negeri Sembilan (861), Melaka (449), Pahang (386), Kedah (76), Kelantan (45), Perlis (41) dan Terengganu (29),” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH Kangar, Noor Amin Ahmad meminta kerajaan menyatakan berapakah kes penceraian yang berlaku sejak Mac 2020 sehingga kini.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan tambahan Noor Amin berkenaan apakah sistem sokongan yang dilaksanakan kerajaan dalam keadaan rakyat terbatas menghadapi pandemik COVID-19, Mas Ermieyati memaklumkan walaupun perkara itu bukan bidang kuasa Parlimen, namun banyak kementerian telah melaksanakan pelbagai program.
“Untuk makluman kes penceraian bukan agama Islam secara pukul rata ada 18 kes dan bagi beragama Islam, permohonan cerai satu hari dalam 21 kes dan dalam 1 jam kira-kira lima orang mohon (penceraian).
“Ini yang kita risau namun saya percaya banyak sistem sokongan di bawah kementerian ini dan pelbagai kementerian lain telah dilakukan.
“Ini bagi memberi sokongan kepada pasangan-pasanagan ini supaya dapat sokongan bukan sahaja dari segi mental namun serta sokongan keluarga dalam menghadapi pelbagai masalah khususnya ketika pandemik ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH