12 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, terma dan rujukan berkaitan keselamatan di Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih baik di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).
Katanya, hak dan perlindungan Sabah serta Sarawak dibincangkan secara mendalam di peringkat persekutuan menerusi MKMA63 bersama empat jawatankuasanya termasuk keselamatan.
“Kerangka acuan MKMA63 meliputi semua hal, meliputi hak dan perlindungan hukum; komitmen undang-undang kewangan dan syarat; keselamatan dan kawalan sempadan Sabah dan Sarawak; keselamatan; pendatang tanpa izin, imigrasi haram dan pencerobohan asing; serta pembangunan sosioekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan dengan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, di ibu negara, hari ini.
Maximus yang juga presiden PBS berkata, dalam pertemuan berkenaan, isu yang dibincangkan adalah masalah keselamatan bersama yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak seterusnya tindakan yang diambil oleh agensi keselamatan untuk memastikan keselamatan sempadan sentiasa dijaga dan terpelihara.
“Jawatankuasa Kerja Keselamatan juga turut membincangkan masalah mengenai isu kewarganegaraan orang asal dari Sabah dan Sarawak yang belum memiliki dokumen kewarganegaraan.
“Hasil dan ketetapan kesemua empat jawatankuasa kerja akan dibentangkan dalam mesyuarat MKMA63 yang dijadualkan pada 14 Okt dan akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain akan dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg.