12 OKT: Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dua lokaliti di Pahang akan ditamatkan esok.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, memaklumkan tiada PKPD dikuatkuasakan atau dilanjutkan di mana-mana lokaliti, hari ini.
Menurutnya, penamatan PKPD meliputi Kampung Tementong, Mukim Cheka 1 di Lipis dan Kampung Orang Asli Kuala Boh, Pos Menson, Mukim Ulu Tenom di Cameron Highlands.
“PKPD Kampung Tementong dilaksanakan sejak 16 September lalu, manakala PKPD Kampung Orang Asli Kuala Boh dilaksanakan bermula 30 September lalu.
“PKPD dua lokaliti ini ditamatkan esok seperti yang dijadualkan selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19 di dua lokaliti terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.