12 OKT: Bekas Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron diingatkan akan ikatan sumpah kerahsiaan kerajaan selepas beliau mengeluarkan kenyataan mengkritik pentadbiran negeri tersebut.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Kemal Mohamad berkata, setiap anggota Exco Kerajaan Melaka sudah mengangkat sumpah untuk tidak memberitahu atau tidak menzahirkan kepada sesiapa pun sama ada secara langsung atau secara tidak langsung sebarang hal yang dibawa untuk pertimbangan kerajaan negeri.
“Dalam hubungan ini kerajaan Melaka sedang meneliti sama ada terdapat pelanggaran ke atas sumpah kerahsiaan tersebut.
“Sekiranya terdapat pelanggaran, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang (ke atas Idris),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Udang itu melalui beberapa sidang media mengulas beberapa isu pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali , khususnya berkaitan perjalanan dan keputusan mesyuarat Exco.
Idris membayangkan wujud pihak lain yang mempengaruhi perjalanan kerajaan negeri.
Kata Kemal, kerajaan Melaka menafikan wujud campur tangan pihak ketiga dalam sebarang urusan dan keputusan dibuat Exco negeri, sebaliknya ia diputuskan secara bersama.
Katanya tidak benar segala keputusan kerajaan negeri perlu dirujuk terlebih dulu kepada pihak ketiga sama ada sebelum, semasa dan selepas mesyuarat.
“Merujuk kepada dakwaan khusus bahawa terdapat campur tangan Pengerusi UMNO Melaka dan dakwaan bahawa keputusan Exco perlu dirujuk kepada pihak ketiga sebelum dilaksanakan, kerajaan Melaka menafikan dakwaan tersebut.
“Kerajaan Melaka juga memandang serius tohmahan Idris bahawa Exco mengamalkan dasar terpilih yang memihak kepada satu-satu kaum semasa membuat keputusan.
“Sebaliknya, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kepentingan semua rakyat Melaka tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.