12 OKT : Dengan pelbagai langkah yang dilaksanakan bagi mencegah penularan di kawasan parlimen, hanya sembilan kes COVID-19 direkodkan sepanjang 17 hari Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kesemua kes tersebut dikesan berpunca daripada komuniti, dan tiada sebarang jangkitan atau kluster direkodkan di Parlimen.
“Seperti anda sedia maklum, persidangan ini diambil kira cabaran penularan COVID-19. Sehubungan itu pelbagai langkah diambil, termasuk mewajibkan RTK Antigen Saliva secara berkala, dan tingkatkan kualiti udara dalam Parlimen.
“Hasilnya, hanya sembilan kes dilaporkan berpunca daripada komuniti. Syukur tiada jangkitan atau kluster di Parlimen Malaysia,” katanya menerusi nota penutup sebelum menangguhkan persidangan Dewan Rakyat yang berakhir pada hari ini.
Terdahulu, semua Ahli Parlimen dan pegawai bertugas diwajibkan menjalani ujian RTK berkala pada setiap Isnin dan Rabu sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat bagi mengawal penularan COVID-19.
Semalam, Ahli Parlimen PH Bangi, Ong Kian Ming disahkan positif COVID-19 hasil keputusan ujian saringan Transkripsi Balikan-Tindak balas Berangkai Polimerase (RT-PCR).
Beliau melakukan ujian saringan kit kendiri terlebih dahulu ketika menghadiri Persidangan Dewan Rakyat sebelum disahkan menerusi ujian RT-PCR.
Dalam pada itu, Azhar turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) yang telah memberi sepenuh komitmen dalam mengambil langkah-langkah bagi memastikan Parlimen dalam keadaan selamat dan terkawal dari penularan wabak COVID-19.
“Saya juga mewakili pihak Timbalan Yang Dipertua ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kerana telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan mesyuarat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan ini.
“Saya juga ucapkan terim kasih Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang sudi mempengerusikan sementara beberapa kali mesyuarat Dewan Rakyat sepanjang tempoh persidangan ini. Kesudiaan daripada Yang Berhormat amat saya hargai.
“Tidak lupa juga kepada semua pegawai kerajaan, warga Parlimen Malaysia khususnya bahagian pengurusan Dewan Rakyat, wakil media massa dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sepanjang tempoh dewan rakyat ini berlangsung,”katanya.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH