13 OKT : Bekalan air dijangka akan mula disalurkan secara berperingkat kepada penduduk di sekitar Lembah Klang bermula jam 5 petang esok.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elena Baseri, berkata bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, Sabtu ini.
Menurutnya, bekalan dijangka kembali pulih esok selepas kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dimulakan pada jam 9 pagi ini.
“Kerja penyenggaraan aset utama ini dijangka siap pada jam 11 malam ini.
“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, pihaknya akan menyediakan bantuan air alternatif melalui lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk urusan pengebumian.
Katanya, senarai lengkap kawasan yang terjejas, pili air awam dan stesen pengisian air komersial boleh didapati di laman laman web hentitugas.airselangor.com.
“Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
“Pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.
Sebanyak 998 kawasan Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini.
Pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSP1 tertangguh daripada jadual asal iaitu pada 2019 dan 2020, berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.
Pelaksanaan kerja itu sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaik-taraf sistem bekalan air, demi keselesaan pengguna pada masa hadapan.