13 OKT: Semua individu yang lahir dalam Persekutuan sebelum 31 Ogos 1957, perlu menguasai bahasa Melayu jika mahu permohonan mendapatkan kewarganegaraan diluluskan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata ini termasuklah bagi individu berkenaan yang menjadi pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) dan sijil kelahiran Malaysia.
Ismail berkata, individu memohon kewarganegaraan juga perlu memiliki rekod kelakuan yang baik dengan melepasi tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya faham banyak permohonan kewarganegaraan dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), sama ada bawah Perkara 19, Perkara 15(1) atau Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan.
“Cuma, asasnya adalah (pemohon) mempunyai pengetahuan berbahasa Melayu. Ini syarat untuk individu yang lahir dalam Persekutuan sebelum merdeka, iaitu mesti memahami dan menguasai bahasa Melayu, serta berkelakuan baik melalui tapisan PDRM.
“Ini sangat penting dalam usaha kita menilai dan memproses bagi memberi kad pengenalan (MyKad) dan kewarganegaraan mengikut undang-undang negara,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Senator N Balasubramaniam mengenai punca masih ramai individu yang lahir sebelum merdeka, khususnya masyarakat India, belum diberi kad pengenalan biru.
Terdahulu, menjawab soalan asal Seruandi Saad mengenai rancangan kerajaan untuk mempertimbangkan isu kad pengenalan merah bagi masyarakat Siam yang lahir sebelum merdeka tetapi belum mendapat taraf warganegara, Ismail berkata, individu terbabit boleh membuat permohonan bawah Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan, antara syarat permohonan kewarganegaraan mengikut Perkara 16 ialah berusia 18 tahun ke atas pada tarikh permohonan; bermastautin dalam Persekutuan bagi tempoh tujuh tahun terdahulu dan tidak kurang lima tahun pada tarikh permohonan dikemukakan; serta pemohon berniat bermastautin dalam Persekutuan.
Katanya, pemohon juga perlu berkelakuan baik; mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu; serta mengisi borang dengan lengkap dan menyertakan semua dokumen sokongan yang diperlukan.
“Setiap fakta dan dokumen sokongan yang dikemukakan akan diteliti sewajarnya mengikut giliran. Justeru itu, tiada tempoh tertentu ditetapkan bagi pengeluaran keputusan dan ia berbeza-beza mengikut keperluan kes,” katanya.