13 OKT: Masalah kesukaran untuk bercampur dengan murid lain menjadi antara punca utama anak masyarakat Orang Asli Negrito terutama suku Bateq enggan ke sekolah.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah, berkata berdasarkan geografi penempatan suku kaum berkenaan juga terletak di pedalaman dan jauh dari sekolah yang menyukarkan mereka untuk hadir.
“Di samping kurangnya galakan, kesedaran tentang kepentingan pendidikan di kalangan ibu bapa menyumbang kepada keciciran pendidikan dikalangan anak-anak suku kaum Bateq.
“Selain itu, budaya berpindah randah dari satu tempat ke lokasi menyebabkan anak-anak di kalangan masyarakat orang Asli suku kaum Bateq ini terus tercicir dalam arus pendidikan perdana,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan oleh Senator Datuk Ajis Sitin yang meminta menteri berkenaan menyatakan apakah punca-puncanya keengganan anak-anak Orang Asli dari kumpulan Orang Asli Negrito untuk bersekolah.
Ajis juga mahu tahu apakah usaha yang dilakukan KPLB bagi memastikan bahawa anak-anak kumpulan Orang Asli Negrito ini menerima pendidikan di mana sedia maklum bahawa pendidikan merupakan paksi kepada kemajuan sesuatu kaum.
Mengulas lanjut, Hasbi berkata KPLB melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), sentiasa komited dengan melaksanakan beberapa tindakan ke arah meningkatkan pendidikan murid Orang Asli bermula dari persekolahan rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.
Berikutan itu, JAKOA bersama Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bekerjasama dalam mengenalpasti punca-punca keengganan anak-anak Orang Asli dari kumpulan Orang Asli Negrito untuk bersekolah.
“Bagi mengatasi masalah keciciran pendidikan di kalangan masyarakat orang Asli Bateq ini JAKOA telah bekerjasama dengan pihak KPM dengan merangka kaedah pendidikan yang lebih sesuai dengan keadaan dan keperluan mereka.
“Di antara langkah yang telah dilaksanakan ialah Program Pro Khas yang mana pihak Jabatan Pendidikan Kelantan menyediakan guru-guru yang terlatih dan kelas diadakan di perkampungan mereka.
Sebagai contoh Program Pro Khas ini ialah di perkampungan Orang Asli di FELDA Aring 5, Gua Musang yang mana balai raya dijadikan kelas kepada murid-murid orang Asli dari semua peringkat umur yang bertujuan mengurangkan kadar buta huruf.
“Selain Program Pro Khas, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dengan kerjasama pihak JAKOA yang menyediakan pengangkutan murid ke sekolah untuk Program Chak Badui Sikolah dan mereka di tempat di kelas khas untuk mengikuti sesi pembelajaran yang terdiri dari pelbagai peringkat umur. Pelaksanaan program ini telah dilangsungkan di sekolah Kebangsaan Kechau 1, Lipis, Pahang,” katanya.
Beliau berkata KPM dan JAKOA juga sedang merangka pelaksanaan sekolah komuniti yang mana kemudahan awam seperti balai raya, dewan orang ramai, tabika dan premis kerajaan lain yang bersesuaian akan dijadikan kelas bagi tujuan penyampaian pendidikan kepada murid-murid orang Asli dari suku kaum Bateq ini.
“Bagi tujuan tersebut, pihak KPM dan JAKOA telah merancang 14 lokasi yang telah dikenalpasti di penempatan orang Asli terutamanya suku kaum Bateq.
“Keterlibatan ibu bapa dikalangan masyarakat orang Asli juga amat penting untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna di sekolah.
“Oleh yang demikian, Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) juga antara kaedah yang digunakan untuk merapatkan hubungan di antara pihak sekolah dan masyarakat Orang Asli,” katanya.