13 OKT : Walaupun terdapat pelbagai pihak khususnya pembangkang mempertikaikan status agihan 150,000 komputer riba yang dijanjikan di bawah inisiatif Cerdik namun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuktikan bahawa pengedarannya mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Perkara itu didedahkan oleh Menterinya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin yang memaklumkan bahawa sejumlah 137,987 komputer riba telah pun diedarkan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.
Menurut beliau, jumlah itu telah pun diedarkan menerusi 1,169 sekolah di seluruh negara setakat 9 Oktober lalu.
“Sebanyak 6,387 komputer riba telah diterima oleh Yayasan Hasanah yang bertanggungjawab untuk mengedarkan komputer riba berkenaan dalam masa terdekat.
“Baki 5,626 unit akan diedarkan sebaik sahaja Yayasan Hasanah menerimanya,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalam Ahli Parlimen PH Kluang, Wong Shu Qi yang bertanyakan mengenai status agihan 150,000 komputer riba yang dijanjikan di bawah inisiatif Cerdik, serta pecahan unit yang diterima oleh setiap negeri.
Terdahulu, menteri pendidikan mendedahkan pada 18 September bahawa hanya 111, 040 komputer riba yang telah diedarkan pada ketika itu.
Semua 150,000 komputer riba dijangka dihantar kepada pelajar keluarga berpendapatan rendah pada akhir September tahun ini