13 OKT: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menjaga kebajikan kanak-kanak yang dikuarantin akibat terkena jangkitan COVID-19 termasuk dari segi penyediaan prosedur operasi standard (SOP) dan khidmat sokongan.
Berikutan itu, Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah menyediakan lima SOP bagi pengurusan kanak-kanak positif atau kontak rapat pesakit COVID-19.
Pertama pengurusan kanak-kanak positif COVID-19 di PKRC MAEPS Serdang; kedua, pengurusan penerimaan kes kanak-kanak positif COVID-19 di pusat kuarantin kanak-kanak di PKRC; ketiga, pengurusan discharge kanak-kanak di COVID-19 di pusat kuarantin kanak-kanak di PKRC.
Selain itu, JKM juga menyediakan SOP bagi pengurusan kes kanak-kanak kontak rapat pesakit COVID-19 di pusat isolasi pusat jagaan tanpa penjaga dan pengurusan kes kanak-kanak kontak rapat pesakit COVID-19 di pusat isolasi ISM bersama penjaga.
Perkhidmatan Sokongan Yang Disediakan adalah seperti peralatan bantuan bagi menjalankan sessi kaunseling di Pusat Kaurantin Khas Kanak-Kanak PKRC MAEPS dan program Kaunseling akan dijalankan oleh kaunselor KKM.
“Manakala perkhidmatan yang disediakan adalah seperti intervensi psikologi dan kaunseling, seperti kaunseling individu, kaunseling kelompok, terapi psikologi; intervensi krisis dan sokongan psikologi intervensi termasuk pengurusan tekanan dan trauma serta pertolongan pemas psikologi (PFA), Debriefing Psychology, Grief Psychology dan psikopendidikan, program psiko-spiritual serta Art Therapy,” jelasnya ketika menjawab soalan di sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Razali Idris yang meminta kementerian menyatakan Kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan pusat kuarantin khas untuk kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 bagi memastikan isu kebajikan dan perkembangan emosi sosial golongan itu tidak terjejas.
Terdahulu, Siti Zailah berkata ketika ini terdapat 134 pusat kuarantin yang sedang beroperasi di seluruh negara berdasarkan maklumat daripada Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sehingga 12 Oktober 2021.
Beliau berkata pelaksanaan kuarantin bagi golongan dewasa dan kanak-kanak adalah di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi tujuan ini katanya, pihak KKM telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan ruang kuarantin khas untuk kanak-kanak di PKRC MAEPS, Serdang, Selangor.