LHDN enggan ulas isu peletakan jawatan Sabin Samitah
13 OKT : Pelbagai spekulasi kini bergema di ruangan media sosial berkenaan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah yang dikhabar pada Jumaat lalu.
Justeru itu, PNBBC Portal cuba mendapatkan penjelasan daripada LHDN berhubung perkara itu.
Namun, sumber dari badan berkanun itu enggan mengulas spekulasi peletakan Sabin yang didakwa dilakukan pada Jumaat lalu.
Beliau juga tidak dapat memastikan sama ada spekulasi peletakan jawatan Sabin ada kaitan dengan dakwaan salah guna kuasa terhadap LHDNM mutakhir ini.
“Kalau berkenaan perkara ini, kami tidak boleh ulas, kami minta maaf.
“Perkara ini kena tanya sendiri dekat tuan punya badan (Sabin),” katanya kepada PNBBC Portal hari ini.
Sehingga berita ini ditulis LHDNM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.
Ketika ini, PNBBC Portal sedang mendapatkan penjelasan dengan Kementerian Kewangan (MOF) berkenaan perkara itu.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Sabin meletak jawatan serta merta dan walaupun hari terakhir perkhidmatan Sabin adalah pada Jumaat ini.
Alasan di sebalik peletakan jawatan itu masih belum jelas, namun ia dipercayai berkaitan dakwaan salah guna kuasa terhadap LHDN mutakhir ini yang berkaitan tunggakan cukai dan usaha pengisytiharan muflis ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pada 9 September lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis terhadap LHDN dengan mendakwa saman tuntutan cukai yang dikenakan kepadanya bermotifkan politik.