13 OKT: Kerajaan sedang dan akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi pelaburan asing utama di rantau ini.
Timbalan Menteri, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata Malaysia berjaya menarik pelaburan sebanyak RM107.5 bilion melalui kelulusan dalam pelbagai sektor ekonomi, meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.
Ban Hong berkata jumlah berkenaan menunjukkan lonjakan ketara sebanyak 69.8 peratus berbanding RM63.3 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.
Berikutan itu, pelbagai usaha berterusan telah dilaksanakan di peringkat nasional dalam mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang terpilih.
“Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan telah menawarkan pakej pengecualian cukai istimewa bagi menggalakkan syarikat asing memindah (relocate) operasi mereka ke Malaysia ataupun menubuhkan operasi baharu dan menjadikan Malaysia sebagai pusat rangkaian bekalan antarabangsa.
“Kerajaan juga menggalakkan syarikat-syarikat wujud untuk menjalankan pelaburan semula dengan memperkenalkan Special Reinvestment Allowance (RA) bagi sektor perkilangan,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Dewan Negara sebentar tadi.
Beliau menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff minta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan kadar pelaburan dalam dan luar negara terutama dalam suasana pandemik COVID-19 ketika ini.
Wan Martina juga MITI menyatakan kaedah dan pelan kerajaan untuk menarik pelaburan ke Negeri Kelantan dan berapakah jumlah pelaburan yang telah berjaya dilaksanakan di Negeri Kelantan.
Mengulas lanjut, Ban Hong berkata kerajaan juga memperkenalkan Dasar Pelaburan Baharu Negara Berteraskan Aspirasi Pelaburan Negara dengan izin National Investment Aspirations-NIA yang melibatkan lima teras utama.
Antaranya ialah meningkatkan economic complexity; mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi; memperluaskan rangkaian domestik; membangunkan kluster baharu dan sedia ada; serta mempertingkatkan keterangkuman.
Beliau berkata jerajaan turut memperkenalkan pelbagai strategi, inisiatif dan insentif yang strategik termasuk menyediakan pakej pengecualian cukai istimewa dan insentif Elaun Pelaburan Semula untuk syarikat sedia ada.
Katanya, syarikat asing yang berprofil tinggi dalam senarai Fortune Global 500 dan Unicorns Global yang terlibat dalam sektor teknologi tinggi serta syarikat-syarikat asing yang ingin menempatkan semula operasi mereka di Malaysia lantaran kesan daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat-China.
Beliau berkata kerajaan juga melaksanakan misi-misi perdagangan dan pelaburan ke pelbagai negara pada tahun ini.
“MITI bersama MIDA dan MATRADE telah berjaya mendapatkan komitmen pelaburan sebanyak RM35.97 bilion dan berpotensi menjana lebih daripada 28,000 peluang pekerjaan menerusi misi-misi perdagangan dan pelaburan ini.
“Kerajaan juga menggerakkan sepenuhnya Pusat Sehenti di MIDA bagi menilai permohonan pelawat perniagaan yang
layak untuk memasuki Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan melalui MIDA sentiasa mengambil langkah-langkah yang proaktif dalam usaha menarik pelaburan asing dan tempatan dalam pelbagai sektor ke seluruh negara termasuk negeri Kelantan.
“Bagi negeri Kelantan, MIDA sentiasa bekerjasama dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan dan agensi serta jabatan berkaitan dalam mempromosikan peluang pelaburan yang terdapat di negeri Kelantan.
“MITI juga turut menjadi ahli bagi mesyuarat utama berkaitan pelaburan di negeri Kelantan seperti Jawatankuasa
Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICC) bagi Negeri-Negeri di ECER dan Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali, Pasir Puteh,” katanya.