13 OKT: Polis terpaksa merampas kenderaan rasmi kerajaan negeri dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee selepas bekas EXCO Melaka berkenaan enggan memulangkan harta kerajaan terbabit, selepas seminggu diarah berbuat demikian.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam dirampas oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam.
Abdul Majid, berkata tindakan diambil selepas polis menerima satu laporan dibuat seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka mengenai keengganan Norhizam untuk memulangkan kenderaan rasmi kerajaan terbabit.
“Susulan menerima laporan itu, pegawai dan anggota daripada JSJK IPK Melaka bertindak merampas kenderaan tersebut di sebuah tempat letak kereta di Jalan Tun Perak, kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam.
“Mengikut laporan dibuat, Norhizam didakwa enggan memulangkan kenderaan tersebut, walaupun satu surat arahan untuk berbuat demikian telah dikeluarkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan pada 5 Oktober lalu dan diserahkan kepada pegawai khasnya,” katanya pada sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka, hari ini.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, Norhizam yang popular dengan gelaran YB (yang berhormat) viral hanya akan memulangkan semula semua aset kerajaan negeri jika 27 wakil rakyat yang lain turut melakukan perkara sama.
Norhizam dipetik sebagai berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan, tetapi beliau berasa hairan kerana hanya tiga Exco kerajaan negeri termasuk dirinya diarahkan berbuat demikian
Sementara itu Abdul Majid, berkata rampasan dilakukan selepas polis mendapatkan waran geledah daripada Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada hari sama laporan diterima bagi mengesan dan merampas barang kes.
Beliau berkata, polis juga merampas satu kad pembayaran elektronik Touch n Go dan satu kad minyak daripada pemandu rasmi Norhizam.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sehingga kini pihaknya telah memanggil lima saksi yang merupakan kakitangan SUK Melaka bagi tujuan rakaman percakapan dan akan memanggil bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan keterangan.
“Polis akan memanggil lebih ramai saksi untuk membantu siasatan di dalam kes ini termasuk Norhizam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta secara ‘curang’ (tidak jujur).
“Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui bagaimana kereta berkenaan boleh ditempatkan di kondominium terbabit serta kaitannya dengan pemilik lot tempat kereta berkenaan,” katanya.