13 OKT : Sarawak memulakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 dan dos ketiga bermula hari ini yang akan melibatkan lebih 122,000 individu di negeri tersebut.
Semua penerima dos ketiga dan dos penggalak ketika ini akan menggunakan vaksin Pfizer COVID-19
Menurut Timbalan Jabatan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rosemawati Ariffin, daripada jumlah itu, seramai 11,900 individu yang mempunyai sistem ketahanan badan yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan akan diberikan dos ketiga.
“Manakala dos penggalak pula akan diberikan kepada 80,300 warga emas yang berusia lebih 60 tahun serta 30,340 petugas barisan hadapan perubatan.
“Pemberian dos ketiga dan dos penggalak itu tidak bermakna vaksin yang sudah diberi sebelum ini tidak memberi kesan perlindungan klinikal seperti dikehendaki.
“Ia adalah untuk memberi perlindungan tambahan kerana dua dos sahaja tidak mencukupi untuk memberi mereka perlindungan atau merangsang sistem imun untuk melawan jangkitan COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dr Rosemawati menjelaskan, dos ketiga vaksin COVID-19 didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut.
Tambahnya, dos penggalak vaksin COVID-19 pula adalah vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa.
“Suntikan dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19 boleh didapati di klinik-klinik kesihatan kerajaan terpilih, hospital swasta dan klinik-klinik swasta.
“Bagi mereka yang layak, bolehlah menghubungi klinik terbabit terlebih dahulu jika ingin mendapatkan janji temu. Senarai nama klinik kesihatan kerajaan, klinik dan hospital swasta akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa melalui saluran media massa dan media sosial untuk memudahkan proses janji temu,” katanya.