14 OKT: Kerajaan optimis industri francais negara mampu mencatatkan nilai jualan melebihi RM13 bilion menjelang akhir tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, industri francais negara mencatatkan nilai jualan sebanyak RM13.3 bilion pada 2019, iaitu peningkatan sebanyak 19.1 peratus berbanding RM11.16 bilion tahun sebelumnya.
Beliau berkata, pada 2019, industri francais Malaysia juga menyumbang kepada lebih 80,000 peluang pekerjaan dengan anggaran sumbangan gaji sebanyak RM1.4 bilion manakala kira-kira RM5.2 bilion jumlah jualan direkodkan pada akhir tahun kewangan 2020.
Justeru kerajaan positif jumlah akhir nilai jualan pada tahun ini mencecah RM13 bilion, berdasarkan kepada kekuatan industri ini biarpun negara berdepan dengan pandemik COVID-19,” katanya ketika melancarkan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2021 (FIM2021) ke-28 yang dibuat secara maya, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr Radzali Hassan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerjasama semua pihak sama ada kerajaan mahu pun swasta dalam tempoh lima tahun mendatang diperlukan bagi menghidupkan semula momentum industri francais negara yang terjejas akibat pandemik.
Ismail Sabri berkata dalam mencapai hasrat itu, kerajaan sudah memperuntukkan sejumlah RM10 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk terus melaksanakan Enhanced Franchise Development Programme (EFDP).
Beliau berkata, EFDP akan memberi latihan kepada usahawan francais tempatan untuk mereka melengkapkan diri dengan amalan serta pengurusan francais antarabangsa, padanan perniagaan serta misi perdagangan selain pembayaran balik kos eksport.
Pada masa sama, usaha yang dilaksanakan melalui Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik bakal membuahkan hasil menjelang akhir tahun ini, apabila usahawan francais akan memulakan perniagaan masing-masing.
“Kerajaan kekal komited dalam menyokong perkembangan industri francais melalui pelbagai inisiatif bawah KPNDHEP,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia sentiasa menyesuaikan diri dengan dasar menyokong francais serta mengalu-alukan francisor antarabangsa untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini, selari dengan sasaran negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais untuk ASEAN.
“Kerajaan yakin bahawa pertumbuhan sihat perniagaan francais akan membantu memakmurkan dan memberi manfaat kepada negara, usahawan, pengguna, bank, perkhidmatan sokongan serta keseluruhan masyarakat Malaysia.
“Dalam kerangka dasar itu, sudah ada program yang menyasarkan kepada usahawan muda untuk mendapat peluang sama rata kepada sumber. Ini boleh dicapai melalui geran yang ditawarkan oleh Kerajaan melalui Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik.
“Melalui program ini, pemilik perniagaan baharu ditawarkan geran padanan, manakala geran penuh diberikan kepada pemilik francais untuk berkembang bagi lebih banyak peluang perniagaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, ia adalah sebahagian daripada inisiatif untuk menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam mencapai sasaran Keluarga Malaysia iaitu Sebuah Malaysia yang Makmur, Inklusif dan Mampan.
Justeru, beliau mengalu-alukan komuniti francais antarabangsa untuk menjadikan negara ini sebagai hab kemudahan pusat masing-masing di rantau Asia Tenggara selain memulakan perniagaan mereka ke negara Asia Timur.