14 OKT : Satu pasukan khas yang dianggotai 26 saintis bagi menyelidik patogen (bakteria atau virus penyebab penyakit) baharu ditubuhkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai langkah mencegah kemunculan pandemik pada masa depan.
Pasukan penyelidik ini juga akan melakukan ujian dan siasatan mengenai asal usul kemunculan virus COVID-19 yang setakat ini menyebabkan 4.5 juta penduduk maut sejak ia dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019.
Kumpulan ini juga akan menghasilkan satu kerangka kerja baharu global bagi kajian asal usul patogen yang berpotensi mencetuskan pandemik seperti SARS-CoV-2, virus yang mengakibatkan virus COVID-19.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kemunculan virus baharu yang berpotensi mencetuskan wabak dan pandemik adalah hakikat alam tetapi perlu dikaji asal usulnya untuk langkah pencegahan.
Kumpulan 26 saintis terbabit dipilih menyertai pasukan khas itu selepas WHO menerima 700 permohonan daripada pakar dalam pelbagai bidang akademik.
Mereka yang terpilih adalah Ketua Institut Virologi Berlin, Christian Drosten; Yungui Yang dari Institut Genomik Beijing; Jean-Claude Manuguerra dari Institut Pasteur dari Perancis dan Inger Damon dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.
Beberapa pakar lain adalah saintis menjalankan kajian asal usul COVID-19 WHO-China iaitu Farag Elmoubasher, Thea Fischer, Marion Koopmans, Hung Nguyen dan John Watson.
WHO sebelum ini mendapati beberapa wabak membawa maut muncul kembali sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), selsema burung, Lassa, Marburg dan Ebola.
Pada awal tahun ini, WHO mengumumkan akan mewujudkan Kumpulan Penasihat Saintifik Mengkaji Asal usul Patogen Novel (SAGO).
Pasukan khas ini dipertanggungjawab untuk menasihat WHO bagi mewujudkan, memantau dan menyokong kajian baharu mengenai asal usul sesuatu virus, termasuk saranan segera kepada pelan operasi badan itu bagi melaksanakan kaji selidik baharu terhadap sesuatu pandemik.