15 OKT: Kerajaan perlu membuka sempadan negara dengan selamat termasuk bagi tujuan pelancongan kepada warga asing yang lengkap vaksinasi COVID-19.
Berikutan itu Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan mengangkat cadangan pembukaan sempadan negara berkenaan kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MPN juga mencadangkan agar kerajaan memansuh atau memendekkan tempoh kuarantin warga asing yang tiba dari luar negara.
Muhyiddin berkata , cadangan berkenaan dijangka dibincangkan dalam jawatankuasa yang dipengerusi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini.
“Pertimbangan ini kita telah fikir lama, dengan beberapa peraturan dan pelawat-pelawat asing baik sosial, perniagaan atau pelancong boleh datang ke negara kita telah sempurna vaksinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) keempat di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata MPN juga berharap proses pembukaan sempadan negara yang merupakan aspek penting dalam usaha pemulihan negara dapat dilaksanakan dengan segera, dan selamat.