15 OKT: Pakistan telah mengumumkan peraturan baharu untuk mengawal selia platform media sosial dan mewajibkan mereka membuka pejabat di negara berkenaan.
Menurut kenyataan Kementerian Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi, peraturan itu dikenakan untuk pemegang lesen yang menyediakan perkhidmatan media sosial atau rangkaian sosial di Pakistan, lapor Agensi Anadolu.
Peraturan “Penghapusan dan Sekatan Kandungan Dalam Talian yang Melanggar Undang-undang (Prosedur, Pengawasan dan Perlindungan) 2021” telah dirangka di bawah Undang-Undang Pencegahan Jenayah Elektronik 2016 di negara ini.
Di bawah peraturan baharu, platform media sosial termasuk Twitter, Facebook dan YouTube perlu membuka pejabat di Pakistan dan mendaftar dengan Lembaga Telekomunikasi Pakistan (PIBG) dalam tempoh tiga bulan.
Platform media sosial juga tidak dibenarkan menerbit, membuat penstriman langsung atau memuat naik kandungan yang boleh mengancam keselamatan negara, kemuliaan Islam, ketenteraman awam, atau integriti atau pertahanan Pakistan, menurut kenyataan itu.
Syarikat media sosial juga mesti membuang atau menyekat mana-mana kandungan dalam talian yang melanggar peraturan ini dalam tempoh 48 jam seperti ditetapkan PIBG atau akan dikenakan denda 500 juta rupee Pakistan (AS$2.9 juta).
Dalam satu kenyataan, Menteri IT dan Telekomunikasi Aminul Haque berkata di bawah peraturan itu, syarikat media sosial harus mematuhi undang-undang negara dan hak pengguna media sosial.
“Di bawah peraturan yang dipinda, pengguna Pakistan akan memiliki kebebasan bersuara sepenuhnya di bawah Artikel 19, dan peraturan ini akan memainkan peranan penting dalam menghubungkan pengguna Pakistan dan organisasi media sosial,” kata Haque.
“Penstriman langsung mengenai ekstremisme, terrorisme, hasutan, pornografi dan kandungan ganas akan dilarang,” katanya, sambil menambah organisasi media sosial mesti menarik balik mana-mana kandungan yang menggugat maruah dan keselamatan Pakistan.
Trend atau kandungan media sosial yang bertentangan dengan budaya negara atau rakyat juga tidak dibenarkan di platform ini.