15 OKT: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, meminta rakyat Malaysia supaya terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai norma baharu di samping mendapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan, bilangan kes kematian sekali gus dapat membina imuniti kelompok.
Dr Noor Hisham berkata, dengan pengambilan vaksin, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19.
“Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi seperti kanak-kanak dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita,” katanya menerusi kenyataan media di sini.
Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM ingin menasihati orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksin COVID-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan.
“Terdiri, elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat); amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn) dan sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup.
“Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan,” katanya.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak WHO.