15 OKT: Telekom Malaysia Bhd (TM) akan memindahkan pelanggan unifi ke Protokol Internet (IP) peribadi sekali gus menawarkan sambungan lebih lancar dan keselamatan lebih terjamin.
Peralihan itu membabitkan pelanggan pakej unifi 30Mbps, 50Mbps dan 100Mbps yang menggunakan alamat IPv4 awam yang dinamik.
Syarikat telekomunikasi itu berkata, dengan peningkatan ketara penggunaan internet, penyedia perkhidmatan internet (ISP) di seluruh dunia berdepan dengan kekurangan alamat IPv4.
“Pelanggan ini sedang dialihkan ke IP peribadi, yang akan membolehkan mereka menikmati sambungan yang lebih lancar di dalam persekitaran yang lebih terjamin.
“Proses ini akan dilaksanakan secara jarak jauh oleh pihak kami, oleh itu, tiada sebarang tindakan perlu diambil oleh pelanggan yang terbabit dengan proses peralihan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
TM berkata, pelanggan yang menggunakan CCTV berasaskan IP dan pengehosan yang telah dikenal pasti, tidak akan terjejas kerana mereka akan dikecualikan daripada aktiviti peralihan itu.
Ia berkata, aktiviti itu sedang berjalan, dengan tempoh gangguan yang minimum sekiranya ada iaitu antara dua hingga lima minit.
Katanya, setelah aktiviti peralihan berkenaan selesai sepenuhnya, prestasi sambungan internet pelanggan tidak akan terjejas dan kesemua pelanggan yang terbabit akan dimaklumkan terlebih dulu berkenaan aktiviti itu.
“Kami percaya aktiviti ini dapat memberikan lebih jaminan keselamatan kepada pelanggan unifi kami semasa mereka melayari internet atau menggunakan alatan dan aplikasi dalam talian.
“Kami di TM sentiasa meningkatkan dan memperbaiki penawaran produk kami untuk memenuhi keperluan dan penggunaan pelanggan daripada pelbagai segmen yang sentiasa berubah,” katanya.