15 OKT: Kebiasaan golongan kenamaan atau individu berjawatan tertinggi dalam kerajaan, pastinya ditemani pengiring atau escort dalam sesuatu program termasuk di kawasan ibadah sehingga diberi kedudukan di barisan paling hadapan berdekatan mimbar.
Namun, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunaikan solat Jumaat di barisan belakang tanpa ditemani pegawai pengiring mahupun pegawai-pegawai kerajaan menerima pujian dan pandangan positif daripada netizen.
Tindakan itu berjaya dirakamkan oleh seorang pengguna akaun Tiktok, @rahimazhari, berkongsi rakaman video yang memaparkan Ismail Sabri yang berbaju Melayu lengkap warna biru muda dan bersongkok hitam dilihat tidak pun ditemani sesiapa.
Malah, menerusi video tersebut juga, Ahli Parlimen Bera itu duduk di barisan belakang bersama-sama orang awam di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.
Rahim memberitahu pada awalnya dia tidak menyedari individu itu ialah ketua kerajaan sehinggalah Ismail Sabri membentangkan sejadah untuk menunaikan solat sunat dan solat Jumaat.
“Nak tanya semua, kenal tak siapa dekat dalam gambar ini? Tadi saya solat Jumaat di Masjid Putrajaya, saya nampak susuk tubuh ini masya-Allah, dia masuk masjid. Mula-mula saya tidak perasan siapa dia tapi bila dia sudah bentang sejadah solat sunat di situ sebelum solat Jumaat, dalam hati saya Ya Allah, ini dia (Ismail Sabri).
“Lama saya tengok, betul dia, baru saya terfikir, masha-Allah dia seorang pemimpin tertinggi dekat negara kita ini. Masuk masjid dalam keadaan ramai orang, tiada escort apa-apa, tak ada apa-apa keistimewaan dibawa oleh bodyguard, bawa ke saf depankah tak ada, dia lambat, duduk di belakang sama macam rakyat biasa macam kita.
“Ini adalah contoh yang patut kita ikut. Satu kualiti kepemimpinan yang kita rakyat Malaysia betul-betul ikut, (beliau) merendah diri dan tidak pernah merasa diri hebat dengan menggunakan keistimewaan dan kuasa untuk membawa bodyguard, escort untuk bawa ke saf hadapan,” katanya menerusi video tersebut.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos lalu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau sempat menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kurang dua bulan setelah dilantik Muhyiddin menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi.