15 OKT: Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini tidak membincangkan mengenai proses dan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak lama lagi.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini memandangkan MPN menyerahkan kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk memutuskan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian bagi mengadakan PRN semasa pandemik COVID-19 masih menular.
“Kita tak bincang pasal pilihan raya dalam mesyuarat. Kita serah kepada kerajaan, kita serah kepada SPR untuk buat keputusan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN keempat di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini.
Terdahulu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak mengesahkan mereka akan mengadakan satu mesyuarat khas di sebuah hotel di Melaka pada Isnin ini bagi membincangkan tarikh sesuai untuk mengadakan PRN Melaka, dalam masa terdekat.
Mesyuarat bakal dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh diadakan selepas SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, berhubung dengan pembubaran DUN Melaka penggal yang keempat belas pada 4 Oktober 2021 sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran DUN itu.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membuat keputusan itu.
Keputusan itu dibuat selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutuskan surat pembubaran kepada Tun Mohd Ali susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Empat bekas ADUN itu adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).