15 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan dalam pengagihan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
SPRM berkata, kertas siasatan itu dibuka selepas pihaknya menerima aduan berhubung dakwaan penyelewengan dana di bawah agensi MITRA.
“Laporan dibuat oleh Pengerusi Pemuda Gen Z, berhubung perkara sama di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini. Sehubungan itu, SPRM akan meneliti dan mengkaji laporan yang dikemukakan.
“Siasatan menyeluruh akan dibuat dengan melihat pelbagai sudut termasuk proses kelulusan dan perbelanjaan persatuan, individu atau syarikat yang menerima dana terbabit,” kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.
SPRM berkata, siasatan menyeluruh ini juga adalah bagi mengesan sebarang elemen rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, menteri atau Ketua Pengarah MITRA tiada budi bicara untuk mempertimbangkan mana-mana permohonan geran di bawah unit berkenaan.
Beliau berkata, sebaliknya hanya Jawatankuasa Penilaian Program MITRA dan Jawatankuasa Pemantauan Program MITRA mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk memberi kelulusan berkaitan perkara berkenaan.
Katanya, Jawatankuasa Pemantauan Program MITRA yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara akan membuat pemantauan ke atas pelaksanaan program diluluskan bagi memastikan ia mengikut terma dan syarat serta mencapai KPI ditetapkan.