15 OKT: Portfolio vaksin COVID-19 keenam negara, Sinopharm kini tersedia di klinik dan hospital swasta seluruh negara, selepas kumpulan pertama vaksin itu tiba ke Malaysia bulan lalu.
Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) dalam satu kenyataan berkata, pemberian vaksin dua dos itu diintegrasi sepenuhnya dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, proses pemberian vaksin dari Beijing, China itu akan dikesan menggunakan Sistem Pengurusan Vaksin Malaysia (MyVAS) yang dibangunkan Kementerian Kesihatan (KKM), dan aplikasi MySejahtera.
“Individu yang menerima dos pertama dan kedua vaksin ini akan segera direkodkan dalam akaun MySejahtera, dan akan turut menerima sijil digital vaksinasi masing-masing.
“Bagi vaksinasi kumpulan besar seperti tenaga kerja di fasiliti kilang, Duopharma Biotech dengan kerjasama badan penjagaan kesihatan, menyediakan perkhidmatan vaksinasi swasta serta klinik vaksinasi bergerak, yang disokong pasukan perubatan profesional, paramedik, pengurus tapak serta kumpulan operasi dan pentadbiran.
“Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berminat mendapatkan vaksin Sinopharm atau syarikat yang mahu mengatur program vaksinasi, boleh menghubungi Duopharma Biotech menerusi e-mel cs@duopharmabiotech.com,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Julai lalu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberi memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan bagi vaksin Sinopharm.
Vaksin COVID-19 yang diluluskan untuk individu berusia 18 hingga 59 tahun, turut tersenarai dalam kelulusan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta 65 negara, termasuk sejumlah negara Kesatuan Eropah (EU).
Sinopharm juga adalah antara enam portfolio vaksin COVID-19 yang diiktiraf Arab Saudi, sekali gus membolehkan penerimanya menunaikan haji dan umrah di Makkah.
Duopharma Biotech berkata vaksin Sinopharm memiliki jangka hayat selama 24 bulan, dan dipakejkan secara satu dos dalam setiap bebuli 0.5ml, sekali gus dapat mengelakkan pembaziran dan mudah diuruskan.
“Kaedah penyimpanan sejuk vaksin itu juga jelas dan mudah, menggunakan suhu standard konvensional iaitu dua hingga lapan darjah celsius,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.