16 OKT: Bermula semalam, individu di Perancis yang belum divaksin perlu membayar untuk mengambil ujian COVID-19 yang selama ini percuma.
Ujian itu bagaimanapun akan dilaksanakan secara percuma untuk individu yang sudah divaksin, individu bergejala dan kanak-kanak berumur antara 12 dan 17 tahun.
Walupun ia telah ditamatkan, kes jangkitan baharu COVID-19 di negara itu masih menunjukkan peningkatan besar sejak akhir Julai.
Kementerian Kesihatan melaporkan 6,099 kes baharu dalam tempoh 24 jam terakhir, meningkat 36 peratus berbanding 4,470 kes pada Jumaat minggu lalu.
Jumlah kes yang dilaporkan semalam adalah kenaikan minggu ke minggu berturut-turut selepas jumlah jangkitan harian turun sejak pertengahan Ogos.
Bilangan individu dirawat di hospital dengan jangkitan COVID-19 terus susut kepada 6,470 kes semalam sementara jumlah pesakit COVID-19 dalam rawatan ICU ialah sebanyak 1,076 kes manakala 32 kematian baru dicatatkan.
Pada akhir bulan lalu, jurucakap kerajaan menyatakan, penularan COVID-19 semakin terkawal di Perancis tetapi kerajaan tidak merancang untuk melonggarkan sekatan pas kesihatan yang ditetapkan.
Sementara itu, Itali semalam menggubal undang-undang yang memerlukan keseluruhan tenaga buruh negara itu sama ada awam atau swasta, mendapatkan pas kesihatan kerajaan.
Tindakan yang disifatkan tamparan baharu kepada kebebasan demokrasi Barat itu mewajibkan semua individu bekerja menerima suntikan vaksin dan menjalani ujian saringan COVID-19.
Undang-undang itu secara tidak langsung memaksa rakyat Itali untuk memilih sama ada mendapatkan pas kesihatan atau berdepan kekangan ketika meneruskan kelangsungan hidup.
Langkah itu, yang memerlukan bukti vaksinasi, ujian negatif atau baru pulih daripada COVID-19 untuk pergi bekerja, dilihat sebagai antara yang paling ketat di Barat, yang bergelut bagi mengimbangi antara kesihatan dengan kebebasan awam.
Di bawah peraturan baharu Itali itu, individu yang tidak memiliki sijil kesihatan yang dikenali sebagai Pas Hijau, perlu mengambil cuti tanpa gaji.
Pihak majikan bertanggungjawab mengesahkan sijil itu, yang kebanyakannya dipaparkan dalam aplikasi telefon pintar, namun cetakan sijil juga turut diterima.
Mereka yang ingkar peraturan itu berisiko didenda sehingga €1,500 (RM7,235) dan setakat ini, syarat Pas Hijau itu belum menerima tentangan perundangan yang serius.
Kerajaan memaklumkan langkah itu sudah berkesan apabila lebih 500,000 yang sebelum ini enggan divaksin, sudah mendapatkan suntikan pelalian COVID-19 sejak bulan lalu.