16 OKT: Solat berjemaah berkapasiti penuh dibenarkan di Masjidilharam, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula esok.
Berita gembira itu antara enam kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 terbaharu yang diumumkan kerajaan Arab Saudi semalam.
Kementerian Dalam Negeri (MOI) Arab Saudi memaklumkan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat terbuka, kecuali di beberapa tempat tertentu dan tertutup termasuk di kedua-dua masjid suci berkenaan.
“Pekerja dan pengunjung dua masjid suci tetap diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di dalamnya selain wajib berdaftar menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna.
“Sistem pengangkutan awam, restoran, panggung wayang, dewan acara dan sebagainya turut dibenarkan untuk beroperasi pada kapasiti penuh tanpa tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik di laman twitter rasmi MOI.
Bagaimanapun, hanya penerima dua dos vaksin yang dibenarkan memasuki kesemua premis berkenaan.
Kebenaran ini juga diberikan kepada golongan yang dikecualikan daripada mengambil vaksin atas faktor kesihatan dengan mereka diwajibkan memakai pelitup separuh muka.