17 OKT : 15 mubaligh dari Amerika Syarikat (AS) dan ahli keluarga mereka disyaki diculik oleh sekumpulan penjenayah di luar ibu kota Haiti semalam.
Menurut sumber pihak berkuasa, kumpulan mubaligh tersebut termasuk beberapa kanak-kanak ditahan penjenayah bersenjata di kawasan antara Port-au-Prince dan sempadan Republik Dominika.
Jurucakap kerajaan AS bagaimanapun enggan memberikan sebarang maklumat berhubung insiden itu dan berkata mereka tiada sebarang maklumat yang boleh disalurkan kepada media setakat ini.
Kumpulan bersenjata yang bertahun-tahun mengawal beberapa daerah termiskin di Haiti kini meluaskan kegiatan jenayah mereka seperti mencuri, merompak dan menculik di bahagian lain di Port-au-Prince.
Berdasarkan Pusat Analisis dan Penyelidikan Hak Asasi Manusia, lebih 600 individu diculik dalam tempoh tiga suku pertama tahun ini, berbanding 231 pada tempoh masa tahun lalu.
Sejak beberapa tahun lalu, krisis ekonomi dan politik melumpuhkan Haiti dan ia semakin meruncing dengan pembunuhan Presiden Jovenel Moise, Julai lalu.