17 OKT : Sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan bagi pembangunan luar bandar di seluruh negeri Sabah untuk tahun ini.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan berkenaan bertujuan membiayai projek jalan luar bandar, jalan kampung, bekalan air bersih luar bandar dan projek bekalan elektrik luar bandar.
“Ada projek yang dilaksanakan di Sabah pada tahun ini lewat disiapkan disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semasa PKP, ada kontraktor yang terpaksa menghentikan operasi disebabkan ada arahan yang dikeluarkan.
“Oleh itu, ada projek yang sepatutnya siap pada Mei lepas terpaksa ditangguhkan hingga hujung tahun ini.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek menaik taraf jalan raya Kampung Pulau Penampang, dekat sini pada Ahad.
Mahdzir turut melawat beberapa projek luar bandar antaranya projek naik taraf Jalan Konkrit Kampung Ratau, Manggatal, Kota Kinabalu.
Ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak berkenaan proses pembangunan di Sabah lambat, Mahdzir berkata Sabah adalah negeri yang besar dan memerlukan jumlah peruntukan yang besar.
“Contohnya, jalan raya di Sabah panjang dan ia memerlukan peruntukan yang sangat besar. Oleh itu, jalan raya berkenaan hanya boleh dibina sedikit demi sedikit dan ambil masa untuk disiapkan. Apa yang pasti setiap tahun ada sahaja peruntukan diberikan untuk pembangunan Sabah dan ia tidak pernah berhenti,” tambahnya.
Sementara itu Mahdzir berkata, beliau bersama pengurusan tertinggi kementeriannya datang ke Sabah untuk meninjau perjalanan projek yang telah dilaksanakan di negeri itu.
“Hari ini saya telah mendengar taklimat mengenai pembangunan luar bandar di Sabah dan saya mahu lihat apa projek yang telah dijayakan dan apa perancangan untuk tahun hadapan,” katanya.
Beliau dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Sabah selama tiga hari bermula Ahad.