18 OKT: Parti Perikatan Nasional (PN) Melaka sudah membuat persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada 20 November depan.
Timbalan Pengerusi Penerangan PN Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya mengambil maklum mengenai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan 20 November 2021 sebagai tarikh PRN Melaka.
Berikutan itu, Hishamuddin yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penerangan BERSATU Malaysia, berkata PN Melaka sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi PRN Melaka sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.
“Kami telah maklum PRN akan berlangsung seperti yang diumumkan oleh SPR.
“Persediaan awal telah dilakukan dan jentera pilihan raya siap siaga untuk mengharungi proses demokrasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi wartawan PNBBC sebentar tadi.
Dalam pada itu, Hishamuddin berkata PN Kota Melaka juga bersedia dan optimis dapat mempertahankan kerusi N23 Telok Mas yang dimenangi BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
Beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka berkata keyakinan itu dibuat berdasarkan tinjauan melalui kepimpinan masyarakat seperti Jawatankuasa Pembangunan Kampung-Kampung dan Sidang Kampung di N23 Telok Mas pada jamuan makan malam pemimpin bersama kepimpinan masyarakat di kawasan terbabit baru-baru ini.
Selain itu Hishamuddin berkata beliau juga bersedia memikul tanggungjawab jika diberi peluang untuk menjadi calon PN pada PRN Melaka nanti.
“Insya-Allah jika diberi peluang saya akan bekerja memastikan kemenangan kepada PN,” katanya.