18 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk bersemuka dengan kumpulan antivaksin bagi memberi fakta dan penerangan yang sahih berdasarkan kajian klinikal berhubung vaksin COVID-19.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kumpulan terbabit perlu diberi penerangan yang sebetulnya kerana KKM tidak membuat sebarang keputusan secara semberono tetapi berdasarkan kajian dalam dan luar negara.
Beliau berkata, KKM sebelum ini sudah menyatakan bahawa vaksin COVID-19 bukanlah penyembuh tetapi bagi meningkatkan imuniti badan dan kajian juga menunjukkan terdapat kesan penurunan antibodi selepas enam bulan divaksin, lalu memerlukan individu berkenaan diberi dos penggalak.
“Jadi saya nak sarankan kalau ada kumpulan ini (antivaksin), kenapa tidak kita jumpa, kita boleh uruskan, saya boleh berbincang dengan Menteri Kesihatan. Kita bersemuka dan bercakap yang sebenar-benarnya.
“Jangan kita cakap sini sana dan menyebarkan berita palsu, kita bimbang juga. Nanti KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) akan ambil tindakan kerana penyebaran berita palsu pula,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Noor Azmi menjawab soalan tambahan Senator Wan Martina Wan Yusoff berhubung tindakan kerajaan supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan kumpulan antivaksin yang menggunakan data CovidNoW bagi mempengaruhi mereka yang belum divaksin.