18 OKT: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) akan bersidang pada Rabu ini bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti masjid dan surau berikutan perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) masa kini.
Berikutan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah untuk mengatur satu muzakarah khas terbabit.
Idris yang juga Naib Presiden PAS berkata, muzakarah itu bertujuan mendengar taklimat mengenai penilaian risiko semasa COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta beberapa isu berkaitan aktiviti masjid dan surau.
“Ini termasuklah cadangan SOP untuk merapatkan saf ketika solat berjemaah.
“Muzakarah ini juga akan dihadiri oleh para mufti seluruh negara serta ahli-ahli muzakarah terdiri daripada pakar-pakar berkaitan selain KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya percaya suatu keputusan demi maslahah umum akan dapat dicapai dan berharap aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah seperti sediakala akan dibenarkan dengan SOP tertentu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mulai hari ini tiada lagi negeri yang berada dalam Fasa 1 dan 2 PPN apabila Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan dan Sabah menjadi negeri terakhir yang beralih ke Fasa 3 PPN.
Ini berikutan jumlah penerima vaksin COVID-19 sudah melebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara manakala kes-kes jangkitan juga menunjukkan kadar penurunan.
Malah rakyat di seluruh negara juga kini dibenarkan merentas negeri setelah kali terakhir melakukannya beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri pada Mei lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di seluruh negara.