18 OKT: Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dijangka membentangkan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di Dewan Rakyat pada suku tahun pertama 2022.
Tuan Ibrahim berkata pindaan berkenaan dibuat dengan mengambil kira desakan rakyat supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap penjenayah alam sekitar terutama melibatkan kes pencemaran sungai.
Berikutan itu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengkaji dan mencadangkan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (fasa satu) untuk dipertimbangkan.
“Insya-Allah, pindaan akan dibentangkan pada suku pertama 2022 di Parlimen tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.
“Doakan agar proses pindaan ini berjalan lancar demi untuk kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya di sini, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata antara intipati pindaan akta berkenaan adalah bertujuan untuk mewujudkan denda minimum tidak kurang RM5,000 dan maksimum tidak melebihi RM10 juta.
Beliau berkata pindaan berkenaan juga membolehkan kenaikan kompaun daripada RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus penalti maksimum diperuntukan bagi kesalahan.
“Selain itu pindaan berkenaan juga bertujuan mewujudkan hukuman mandatori penjara tidak melebihi 5 tahun terutama bagi kesalahan menyebabkan pencemaran sungai dan laporan penilaian alam sekitar (EIA).
“Pindaan akta berkenaan juga merangkumi peruntukan standard pelepasan akan diperkukuhkan dengan mewujudkan peraturan khusus bagi membolehkan pendakwaan dilakukan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI