18 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada kuasa untuk menghalang jentera parti politik dari luar untuk datang berkempen di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata ini berikutan negeri itu sudah beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), manakala pintu sempadan negeri pula sudah mula dibuka untuk dikunjungi pelancong luar.
“Sekarang ini sempadan negeri sudah dibuka, jadi kalau kita lihat secara umum, kita nak mengawal (kemasukan pengunjung) agak sukar sebab Melaka adalah negeri pelancongan.
“Sudah pasti mereka (jentera parti) datang ke negeri ini bukan saja untuk berkempen, tetapi juga untuk berehat (bercuti).
“Ini satu keadaan yang sukar untuk kita nak kawal dari segi kempen dan menghalang mereka datang ke Melaka (dalam tempoh kempen PRN),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR berkaitan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-15 di Banda Hilir, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom; Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dan Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan.
SPR menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, manakala hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.
PRN Melaka bakal membabitkan seramai 495,196 pengundi dan SPR menganggarkan proses itu menelan belanja sebanyak RM46 juta.