18 OKT: Masjidilharam bukan sahaja dibenarkan mengikut kapasiti penuh malah mulai semalam jemaah menunaikan solat tanpa dibatasi penjarakan fizikal buat pertama kali sejak tercetusnya pandemik COVID-19.
“Perkara ini selari dengan keputusan untuk melonggarkan langkah berjaga-jaga dan membenarkan jemaah dan pelawat berada di Masjidilharam dalam kapasiti penuh,” lapor agensi berita rasmi Arab Saudi (SPA).
Walaupun kelonggaran penjarakan fizikal diberikan, pelawat mestilah lengkap vaksinasi dan wajib memakai pelitup muka di kawasan sekitar Masjidilharam.
Bagaimanapun, Kaabah masih dikepung dan tidak boleh dihampiri dalam jarak dekat.
Dalam pada itu, kumpulan pekerja telah menanggalkan penanda di lantai sebagai panduan untuk orang ramai melakukan penjarakan fizikal sebelum ini di dalam dan sekitar Masjidilharam.
Umat Islam di Masjidilharam menunaikan solat tanpa penjarakan fizikal dengan saf dirapatkan semula bermula solat Subuh semalam.
Ogos lalu, Arab Saudi mengumumkan pembukaan semula ibadat umrah bagi warga asing yang sudah lengkap vaksinasi.
Untuk rekod, Julai lalu, Arab Saudi membenarkan sekitar 60,000 penduduknya yang lengkap divaksinasi untuk menunaikan ibadat haji yang dilaksanakan dalam skala kecil.
Pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada pelaksanaan ibadat haji dan umrah yang sebelum ini memberi pulangan utama kepada kerajaan Arab Saudi dengan pendapatan AS$12 bilion (RM49 bilion) setahun.
Setakat ini, Arab Saudi mengesahkan sebanyak 547,000 kes COVID-19 dengan 8,760 kematian.