18 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sedang meneliti beberapa kaedah serta peraturan baharu bagi mengurangkan kesesakan pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata kaedah itu akan berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, panduan yang sama juga akan digunakan sepanjang 12 hari proses kempen PRN Melaka diadakan kelak.
“Dari segi SOP di pusat mengundi memang ketat (dengan) syarat vaksin, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal serta lain-lain memang ada dan di peringkat urus setia serta petugas, kita tidak akan bertolak ansur.
“Kepada semua pengundi (diharap) tidak datang mengundi secara serentak, kerana kita ada waktu dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang. Waktunya agak panjang dan jika boleh warga emas datang di awal pagi, yang muda biarlah lewat sedikit supaya tidak berlaku kesesakan.
“(Bagaimanapun) kita akan buat cadangan masa untuk keluar mengundi melalui aplikasi seperti Mysejahtera,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR berkaitan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-15 di Banda Hilir, Melaka, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom; Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dan Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan.
Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, kaedah dan SOP muktamad mengenai pelaksanaan pilihan raya itu masih di peringkat rundingan bersama MKN, KKM dan PDRM.
Katanya, bagi melaksanakan PRN Melaka, SPR dijangka membelanjakan sejumlah RM46 juta selepas mengambil kira situasi negara yang masih berada dalam fasa pandemik COVID-19.
Beliau sebelum itu mengumumkan 20 November ini sebagai hari membuang undi bagi PRN Melaka, hari mengundi awal pula ditetapkan pada 16 November, manakala penamaan calon pada 8 November.
PRN Melaka diadakan selepas DUN Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada 4 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata suruhanjaya berkenaan menyasarkan kira-kira 70 peratus daripada 495,196 pengundi akan keluar mengundi pada PRN ini.
“Sasaran itu rendah berbanding jumlah biasa pada pelaksanaan pilihan raya sebelum ini dengan mengambil kira tempoh pandemik COVID-19 yang belum berakhir.
“SPR menyasar 70 peratus akan keluar mengundi dan setiap garis panduan akan berpandukan kepada pandangan pihak berkuasa. Bagi pihak SPR, kalau boleh sememangnya kita mahu sasaran yang positif, tetapi memandangkan faktor COVID-19, sasaran itu agak rendah iaitu selalunya kita menetapkan 80 peratus akan keluar mengundi,” katanya.
Tamat