19 OKT : Kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan parti lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan selepas perbincangan mesyuarat Biro Politik, Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Mesyuarat Tertinggi BN.
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat tiga peringkat yang dijadual minggu depan itu akan memutuskan perkara tersebut memandangkan PRN Melaka merupakan landskap baharu berdasarkan politik situasi semasa.
“UMNO dan BN ditanya siapakah rakan kongsi politik kami untuk menghadapi PRN ini.
“Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad kerjasama UMNO dan BN dengan mana-mana pihak masih belum diputuskan secara rasmi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jentera Umno negeri Melaka bagi menghadapi PRN hari ini.
Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad dan Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan.
Memgulas lanjut, kata Ahmad Zahid, UMNO terbuka menerima pandangan semua pihak namun segala keputusan akan dibuat secara kolektif apabila tiba masanya.
“Buat masa ini, parti akan memberi tumpuan kepada calon yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan faktor boleh menang.
“UMNO melihat kepada kriteria calon boleh menang yang akan bertanding pada PRN Melaka berdasarkan data melalui perangkaan Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14 serta unjuran parti itu bagi negeri tersebut.
“Kita akan menempatkan jentera dari negeri-negeri di setiap kerusi yang ditandingi UMNO dan BN,” tegasnya.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Abdul Ghani Salleh pada 18 Okt lepas mengumumkan tarikh pelaksanaan PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon ialah 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.
PRN itu diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka setelah kerajaan negeri pimpinan BN hilang majoriti.