19 OKT: Parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada minggu ini.
Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata setakat ini perbincangan antara BERSATU dengan PAS dan GERAKAN berjalan lancar dengan ketiga-tiga parti saling memberikan kerjasama padu dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Mohd Rafiq berkata setakat ini tiada rundingan dilakukan membabitkan UMNO kerana PN Melaka membuat keputusan sama ada akan bekerjasama dengan parti terbabit atau tidak dalam PRN Melaka nanti.
“Kami BERSATU bincang dengan PAS dan GERAKAN Melaka dengan baik dan kami saling hormat-menghormati sesama kami kerana masing-masing ada pengalaman menempuh pilihan raya umum dan kecil.
“Insya-Allah rundingan akan selesai minggu ini dan keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi boleh dicapai,” katanya ketika ditemui pada program Gerai Prihatin Rakyat anjuran PN di Taman Tangga Batu Perdana, Tanjung Kling dekat sini hari ini.
Pada program itu anggota komuniti hanya perlu membayar RM15 untuk diberikan seekor ayam, sepapan telur, sebungkus bahan minuman dan sebungkus ubi kentang seberat lima kilogram.
Bagaimanapun, Mohd Rafiq enggan menjelaskan jangkaan kerusi yang bakal ditandingi ketiga-tiga parti terbabit.
“Maaf, kami belum boleh nyatakan berapa kerusi sekurang-kurangnya kami akan dapat untuk ditandingi,” katanya.
Mengenai kerjasama dengan UMNO, beliau berkata berdasarkan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, parti berkenaan tidak akan bekerjasama dengan BERSATU untuk menghadapi PRN Melaka tetapi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, perkara berkenaan masih belum dimuktamadkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 BERSATU yang ketika itu komponen Pakatan Harapan (PH) bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menang dua kerusi iaitu Paya Rumput yang diwakili Mohd Rafiq dan Telok Mas yang diwakili Datuk Noor Effandi Ahmad.
Bagaimanapun Noor Effandi sudah digugurkan daripada menjadi ahli BERSATU kerana menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.
PAS bertanding 24 kerusi tetapi gagal mendapat sebarang kerusi ketika itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN Melaka diadakan pada 20 November ini dan penamaan calon pada 8 November ini.