20 OKT: PAS Pusat akan menentukan sama ada pemilihan jawatankuasa tertinggi parti akan diadakan sempena Muktamar Tahunan Ke-67 pada November ini.
Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pengumuman akan dibuat selepas mengumpul maklumat daripada pihak Pas kawasan yang baru selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing.
“Setakat ini kita tiada maklumat (sesi pemilihan) sebab Pas kawasan baru sahaja habis mengadakan mesyuarat agung, jadi kita tunggu mereka hantar keputusan kepada Pas pusat.
“Dari situ baru kita tahu sama ada akan ada pertandingan, termasuk calon dan sebagainya. Kita jangka dalam seminggu ini mereka akan hantar keputusan, jadi selepas 25 Okt baru kita akan tahu,” katanya.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Muktamar Tahunan PAS Ke-67 tahun akan diadakan secara hibrid mengikut prosedur operasi standard (SOP) norma baharu di Terengganu.