21 OKT: Anggota bomba yang terlibat dalam kejadian dihanyutkan arus deras di Kampung Sungai Putat, Melaka semalam, meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi tadi.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi satu hantaran di Facebooknya awal pagi tadi.
Berikutan itu Reezal Merican mengucapkan salam takziah dan menzahirkan perasaan sedih atas kematian Mohd Diya.
“Berat hati saya apabila dimaklumkan Mohd Diya telah kembali ke rahmatullah di Hospital Besar Melaka jam lebih kurang 3.11 pagi.
“Jenazah kini masih berada di Hospital Besar Melaka. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat. Jasa, bakti dan pengorbanan yang tidak terbalas.
“Semoga Allah mengurniakan ganjaran sebaiknya dan mengangkat darjat Allahyarham bersama orang-orang soleh. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain berkata, Mohd Diya Che Jusoh, 46, meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.
Abu Bakar berkata jenazah Mohd Diya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur Krubong, Melaka pada jam 10 pagi.
“Warga JBPM Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita di atas insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, Mohd Diya dipercayai lemas ketika memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.
Mangsa yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Difahamkan, anggota berkenaan tersangkut dalam aliran deras air banjir sebelum orang anggota bomba yang lain bersama penduduk kampung cuba menyelamatkannya.