21 OKT : Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan penubuhan Majlis-Majlis Pemulihan Negeri dalam usaha untuk memastikan Pelan Pemulihan dapat dijalankan secara holistik di peringkat negeri.
Menurut Muhyiddin, Majlis Pemulihan Negeri itu boleh dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing bagi memastikan usaha pemulihan di peringkat negeri berjalan lancar.
“Saya selaku Pengerusi MPN telah mencadangkan penubuhan Majlis-majlis Pemulihan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing bagi memastikan Pelan Pemulihan ini dapat dilaksanakan secara holistik di peringkat negeri juga.
“Seperti yang saya tekankan sebelum ini, proses pemulihan bukan satu proses yang mudah dan memerlukan penglibatan bersama seluruh rakyat Malaysia.
“Justeru, dalam merangka perancangan pemulihan, Majlis Pemulihan Negara (MPN) perlu sentiasa mendengar, mengambil kira dan menimbang segala pandangan serta dan idea setiap lapisan masyarakat di Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran terbaharu di Facebook rasminya malam ini.
Terdahulu, Muhyiddin mengadakan sesi dialog bersama pemain-pemain industri sektor ekonomi dan sosial di negeri Melaka.
Di dalam sesi dialog tersebut, Muhyiddin menekankan bahawa Malaysia tidak boleh sekadar pulih daripada pandemik ini, tetapi negara perlu menjadi terbaik dalam segala apa yang dilakukan.
“Dalam perjumpaan tersebut pemain-pemain industri di negeri ini telah membangkitkan isu berkaitan kekangan tenaga kerja dan pembiayaan bagi membuka semula perniagaan mereka.
“Kedua-dua isu ini sedang diteliti oleh dua jawatankuasa khas yang ditubuhkan semasa mesyuarat MPN yang lepas dan insya-Allah jawatankuasa-jawatankuasa ini akan membentangkan laporan dalam jangka masa sebulan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada negeri Melaka yang telah beralih ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 18 Oktober lalu setelah berjaya menepati nilai-nilai ambang yang ditetapkan.
“Syabas rakyat Melaka! Sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan sektor pelancongan serta pembuatan, Melaka perlu diberi peluang untuk berkembang dan maju dalam peralihan daripada fasa pandemik kepada fasa endemik.
“Alhamdulillah, saya kagum dengan semangat kental dan kecekalan rakyat negeri Melaka dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19. Saya yakin dan percaya, dengan kerjasama semua pihak, kita dapat bangkit kembali,” katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan proses pemulihan seperti mana dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip tiada kelompok yang tertinggal.
Tegasnya, prinsip itu bukan sekadar slogan dan laungan, tetapi merupakan nilai yang amat penting untuk dijadikan amalan demi mencapai pemulihan yang seimbang dan menyeluruh.
“Saya menekankan pemulihan negara perlu holistik dan tidak hanya tertumpu kepada pemulihan ekonomi semata-mata.
“Justeru, amat penting untuk kita mengambil kira aspek pemulihan dari segi kemasyarakatan, tatahidup dan rohani supaya pemulihan yang dijalankan lebih sekata dan bermakna serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.