21 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebentar tadi, mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba, Mohd Diya Che Jusoh, 46, yang meninggal dunia di Hospital Melaka, awal pagi tadi, selepas dihanyutkan arus deras semasa misi menyelamat akibat banjir di Melaka, semalam.
Ismail Sabri berkata beliau berasa amat sedih dan dukacita apabila mendapat perkhabaran mendukacitakan tentang Mohd Diya yang meninggal dunia awal pagi ini.
“Allahyarham terlibat membantu mangsa banjir di Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka semalam. Takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Diya serta seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam hantaran terbaharu di akaun Facebooknya sebentar tadi.
Terdahulu, media melaporkan anggota bomba yang terlibat dalam kejadian dihanyutkan arus deras di Kampung Sungai Putat, Melaka semalam, meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi tadi.
Jenazah Mohd Diya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong dalam suasana penuh hiba.
Proses pengebumian yang ringkas dalam suasana norma baharu itu selesai kira-kira jam 11.50 pagi, dengan dihadiri ahli keluarga termasuk isteri, Noraida Che Nor, serta rakan-rakan setugas.