21 OKT : Taliban membuat keputusan untuk menjalin kerjasama dengan Russia, China serta Iran susulan amaran Kremlin mengenai peningkatan ancaman kumpulan Daesh dan penyeludupan dadah selepas Taliban berkuasa di Afghanistan.
Persetujuan tersebut diberikan dalam satu mesyuarat berlangsung di ibu negara Russia selepas kumpulan tersebut mengambil alih kuasa pada Ogos lalu.
Perbincangan itu menyusuli amaran Presiden Russia, Vladimir Putin, yang mendakwa pejuang Daesh sedang berkumpul di utara Afghanistan untuk menyebarluaskan perselisihan agama dan etnik.
Dalam satu kenyataan bersama, semalam, pihak terbabit mesyuarat di Moscow itu menyuarakan kebimbangan mengenai kegiatan kumpulan pengganas.
Pihak berkenaan juga sekali lagi menyatakan kesediaan mereka untuk terus menyokong usaha memastikan aspek keselamatan di Afghanistan demi menyumbang ke arah kestabilan serantau.
Sebelum bermesyuarat di Moscow, perwakilan Taliban telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai Kesatuan Eropah dan AS, selain mengunjungi Turki bagi meraih pengiktirafan serta bantuan daripada masyarakat antarabangsa.
Perwakilan Kremlin ke Afghanistan, Zamir Kabulov, bagaimanapun menegaskan pengiktirafan rasmi hanya akan diberikan apabila Taliban memenuhi jangkaan dalam aspek hak asasi manusia dan pentadbiran inklusif.
Dalam kenyataan bersama itu, negara peserta turut mendesak Taliban untuk ‘mengamalkan dasar luar dan dalam negara yang sederhana serta kukuh’, di samping ‘melaksanakan dasar mesra terhadap negara jiran Afghanistan.’