22 OKT : Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berharap Bajet 2022 akan memperkenalkan insentif fiskal dan bukan fiskal bersifat kompetitif sebagai menangani perubahan persekitaran perniagaan dan landskap cukai antarabangsa bagi memastikan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) kekal menjadi destinasi pelaburan pilihan.
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata NCIA juga menjangkakan belanjawan yang akan dibentangkan pada akhir bulan ini akan terus menyokong pelaksanaan program modal insan NCER yang berteraskan rakyat, terutama bagi kumpulan rentan.
Malah, program terbabit terbukti memberi kesan positif dari segi mempertingkat pendapatan dan kehidupan menerusi pekerjaan dan keusahawanan yang menyasarkan wanita, belia dan Orang Asli.
“Tumpuan juga harus diberikan kepada usaha untuk menghidupkan semula serta kelangsungan perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19 seperti pelancongan, runcit dan sektor tidak rasmi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama pada Jumaat.
Jebasingam berkata, NCIA turut menjangkakan Bajet 2022 akan menyokong pertumbuhan dan daya tahan ekonomi dalam bidang seperti jaminan makanan, pembangunan bakat, infrastruktur digital dan teknologi.
“Berikutan itu, NCIA akan memacu pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi seperti Bandaraya Getah Kedah; Hab Logistik, Pengeluaran dan Aeroangkasa Sidam (SLAM); Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Zon Ekonomi AgriBio NCER AgriBio (NAEZ) bagi merangsang pemulihan ekonomi dan menangani aspek ketidakseimbangan wilayah,” katanya.
Pada masa sama, Jebasingam berkata NCIA juga berharap Bajet 2022 akan terus memberi penekanan untuk mencapai keseimbangan dan keterangkuman serantau, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Beliau berkata, kerajaan dijangka membuat pengumuman mengenai langkah sewajarnya bagi mempercepat pemulihan sosioekonomi pasca pandemik.
NCIA adalah pihak berkuasa bagi pembangunan wilayah yang bertanggungjawab merangka hala tuju, dasar dan strategi berkaitan pembangunan (NCER) yang diwujudkan pada Jun 2008 dan merangkumi empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.
Selain itu, NCIA memacu pertumbuhan NCER ke arah wilayah ekonomi yang cemerlang, pada masa sama menjadi pemangkin dan melaksanakan program pembangunan nilai tambah tinggi dalam enam kluster iaitu pembuatan, perniagaan agri atau pertanian, petrokimia, perlombongan, ekonomi hijau dan perkhidmatan yang merangkumi pelancongan, logistik dan kesalinghubungan serta ekonomi digital.