22 OKT: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegur pihak berkuasa agama supaya tidak mengizinkan penggunaan nama yang mengelirukan penganut Islam oleh mana-mana pihak.
, berkata alau apa pun alasan yang diberikan untuk jenamanya, penggunaan nama “Timah” dalam bahasa orang Melayu adalah dekat dengan nama Fatimah al-Zahra’ RA, puteri kesayangan Rasulullah SAW.
Berikutan itu Abdul Hadi menegaskan tindakan itu secara halus boleh dianggap menyentuh sensitiviti dalam kalangan penganut Islam.
“Islam mengharamkan arak dan bahan sepertinya kerana memabukkan, sehingga menghilangkan dan merosakkan akal manusia.
“Selain itu, ia menjadi penyebab kepada pelbagai penyakit lain yang membahayakan jasad, meruntuhkan akhlak, sehingga merosakkan keluarga dan masyarakat, serta memesongkan hikmah manusia itu diciptakan.
“Bahkan, semua agama pada asalnya juga mengharamkan arak kerana masing-masing berasaskan panduan Islam yang menjadi agama fitrah manusia. Namun, para agamawannya yang terdiri daripada kalangan paderi, pendeta dan sami telah meminda agama asalnya. Sehingga kemudiannya menghalalkan arak, bahkan ada yang memasukkan arak dalam upacara keagamaannya,” katanya dalam Minda Presiden PAS yang dikongsi di laman Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata pengharaman arak dalam Islam ditetapkan secara nas yang diketahui umum mengikut ajaran Islam.
Duta Khas Ke Timur Tengah itu berkata penetapan hukum tersebut dilakukan dengan tegas setelah melalui proses tarbiah secara berperingkat.
Malah, katanya ia bermula pada zaman awalnya dalam menghadapi masyarakat yang terkenal terlalu ketagihkan arak pada masa jahiliah mereka yang tebal berkarat.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata perbelanjaan bagi menghadapi penyakit dan akibat keburukannya juga lebih mahal daripada harga faedahnya termasuklah cukai itu sendiri.
“Justeru arak sebenarnya merugikan kehidupan manusia sehinggalah keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata Islam juga menegaskan bahawa semua yang terlibat menghasilkan arak dan bahan sepertinya adalah haram dan berdosa besar, sama ada daripada industri huluan sehinggalah hiliran.
“Walaupun tidak digunakan untuk dirinya dan orang lain. Semua hasilnya tidak mendatangkan keberkatan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
“Seterusnya diharamkan juga semua bahan yang memabukkan seperti candu, dadah dan lain-lain kerana semuanya merosakkan akal yang berharga bagi diri manusia.
“Namun, Islam masih mengizinkan penggunaan bahan-bahan lain yang tidak salah, seperti bagi tujuan perubatan dan perubahan daripada arak menjadi cuka untuk makanan setelah proses bertukar menjadi bahan yang lain,” katanya.
Adapun dalam masyarakat majmuk yang berbagai-bagai penganut agama, Abdul Hadi berkata pihak yang berkuasa dalam negara Islam tidak boleh menghalang penggunaan dan perniagaannya dalam kalangan bukan Islam.
“Hal ini disebabkan ia diizinkan oleh agamanya berkonsepkan kebebasan beragama.
“Kerajaan yang dikuasai oleh PAS di Kelantan dan Terengganu telah menetapkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang mengharamkan arak kepada penganut Islam.
“Pada masa yang sama, tidak melarang berlaku perniagaan arak dalam kalangan bukan Islam sahaja,” katanya.