22 OKT : Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan mempertimbangkan untuk menjadikan pengambilan vaksin sebagai satu mandatori.
Kata Muhyiddin, keengganan individu menerima vaksin begitu membimbangkan walaupun jumlah mereka hanya dalam lingkungan 10 peratus sahaja.
“Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap golongan yang enggan divaksin tanpa alasan kukuh supaya negara dapat mencapai liputan imunisasi menyeluruh dengan lebih pantas dan berkesan.
“Ini kerana mereka berisiko menjadi penyebar dan berpotensi merencatkan usaha kerajaan memulihkan semula ekonomi.
“Sebab itu pandangan saya adalah kerajaan perlu pertimbangkan sama ada mahu jadikan ia sebagai mandatori,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, hari ini.
Jelasnya lagi kerajaan harus melihat dari pelbagai sudut di mana adakah sebarang halangan sama ada daripada segi perundangan atau perlembagaan, dan melihat apa cara sekalipun supaya golongan yang menolak berkenaan dapat diberikan nasihat untuk menerimanya.
“Disebabkan golongan antivaksin tidak menerima vaksinasi, mereka tidak boleh menggunakan kemudahan aplikasi MySejahtera.
“Jadi kalau mereka tiada sijil (vaksinasi), mereka secara semulajadi menafikan hak untuk mendapat kemudahan sama ada nak masuk restoran, masjid, hotel atau di mana sekalipun kerana itu dah jadi satu amalan biasa di Malaysia,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, sebelum ini kerajaan tidak menguatkuasakan perkara berkenaan berikutan tertumpu kepada usaha pemberian vaksin dengan segera.
Beliau berkata, sudah tiba masa untuk perkara itu diperhalusi ekoran golongan yang masih tidak menerima vaksin ketika ini kebanyakannya terpengaruh dengan berita tidak sahih.