22 OKT : Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan besar akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November depan berdasarkan situasi politik hari ini.
Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, secara dasarnya, semua parti komponen dalam gabungan berkenaan bersetuju dengan perkara tersebut.
Katanya lagi, pecahan kerusi antara parti komponen PN bergantung kepada keadaan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PN.
“Saya fikir besar kemungkinan kita bertanding di semua kerusi dan 28 kerusi dibahagikan di antara parti yang saya sebutkan tadi (Bersatu, Pas dan Gerakan)
“Pada dasarnya mereka bersetuju dengan 28 kerusi DUN yang dipertandingkan di Melaka bahagikan mengikut situasi dan keadaan dan diharapkan kita dapat mencapai kejayaan,” katanya ketika ditemui di Bukit Gambir pada Jumaat.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, beliau sudah menjangkakan keputusan UMNO untuk tidak bekerjsama dengan Bersatu.
“Saya dah agak perkara itu, responsnya begitu. Tapi sebagai satu tindakan berhemah di peringkat kita, kita nak dengar mereka kata sah. Dan sekarang meraka kata no way dan itu fakta.
“Saya dah maklumkan di Melaka dah kita bersedia untuk hadapi apa saja bentuk pertandingan sama ada secara dua, tiga atau empat 4 penjuru, itu tidak menjadi masalah bagi kita,” jelasnya.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita pada Khamis malam sekali lagi mengulangi pendirian parti itu untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.